Cemburu..
Itulah sifat yang terlalu akrab dengan seorang wanita. Sebab itu, hati para wanita ini perlu dibelai, dikasihi, dijaga sebaik-baiknya agar tidak terluka. Wanita, apabila hati sudah terluka sudah pasti lambat sembuhnya. Jika tidak kena pada caranya, hati wanita ini boleh bernanah dengan begitu teruk. Disinilah suami perlu bijak memainkan peranan. Memujuk tanpa jemu, ikutilah sunnah-sunnah nabi. Bagaimana Rasulullah S.A.W berjaya menggembirakan hati isteri-isteri baginda sebelum ini.
Lelaki juga apa kurangnya walaupun jarang-jarang cemburu tetapi apabila sesekali cemburu begitu hebat penangannya. Tetapi sangat sedikit lelaki yang mengaku bahawa dia sedang cemburu. Mungkin ego itu yang menghalang mereka daripada berterus terang. Mungkin kah?
Suami isteri selalunya bersengketa hanya kerana cemburu. Cemburu kadang-kadang boleh mendatangkan bahagia, tapi ianya lebih banyak cenderung kepada pergaduhan. Cemburu yang mendatangkan pergaduhan ini selalunya merupakan cemburu buta, jika tidak pun kemungkinan besar ada orang yang ketiga yang wujud dan sengaja menimbulkan pergaduhan antara suami isteri ini agar masing-masing bergaduh antara satu sama lain dan kemudian bercerai berai. Nauzubillah!
Apa yang ingin dikongsikan tentang sifat ini ialah mengenai pasangan yang terlalu memikirkan tentang perhubungan. ikuti luahan sebenar hati seorang insan bernama wanita:
Aku bahagia bertemu dengan si dia. Ilmunya, akhlaknya sangat aku kagumi. Dia seorang yang lemah-lembut terhadap wanita. Perkenalan dengannya yang begitu lama akhirnya telah menyatukan kami sehingga ke ambang perkahwinan. Aku sangat bahagia bersamanya.
Tapi, di saat aku terlalu menyayanginya. Allah menguji keimanan ku. Aku dapat tahu dahulunya dia pernah menyayangi seorang wanita sebelumku, aku cemburu dengan itu sedangkan dahulu, aku tidak pernah menyayangi mana-mana lelaki sebelumnya dan hakikatnya dialah lelaki pertama dan yang terakhir yang pernah aku sayangi.
Kemudian, aku mendapat tahu lagi perkara-perkara yang lalu tentangnya. Aku menjadi semakin gelisah, hatiku resah tidak menentu. Dahulu, suamiku seorang insan biasa. Dia tidak pernah menuntut di sekolah agama. Pendidikan agamanya hanya setakat sekolah agama rakyat yang dihadirinya diwaktu petang ketika zaman sekolah rendah. Menurut suamiku lagi, dia seorang yang amat jahil tentang ilmu Islam. Namun begitu, Alhamdulillah tahun demi tahun berlalu, akhirnya Allah telah berikan suamiku hidayah. Sebelum mengenaliku, dia telah dibukakan mata hatinya untuk berubah mencari yang hakiki. Atas dasar keimanannya itu, aku jatuh cinta padanya. Ketika diberitahu dia meminangku, aku tersenyum syukur. Aku memilihnya kerana nilai agama yang ada dalam dirinya. Masya-Allah!
Ketika aku menerima pinangan dan bernikah dengannya, aku tidak mengetahui langsung sejarah hidupnya. Dihadapanku ketika itu dia adalah seorang lelaki soleh, yang aku cintai dan terima seadanya. Sungguh tenang, seakan bercahaya wajahnya. Tapi, bila saat sejarah-sejarahnya dahulu diketahui olehku, aku menjadi bingung. Terngiang-ngiang ditelingaku pengakuan suamiku kepadaku bahawa suatu masa dahulu dia seorang yang kerap bersosial. Dia pernah berkawan dan bermesra dengan beberapa wanita lain yang berbeza sebelum dia mendapatkan hidayah Allah itu. Aku menjadi terlalu cemburu dan agak marah ketika itu semuanya kerana aku berasa tidak adil kerana aku tidak pernah melakukan apa yang suamiku lakukan sebelum aku bernikah dengannya dahulu. Aku jadi sedih dan perasaanku bercampur baur.
Kadang-kadang aku menangis merintih pada Ilahi mengapa sifat ini terlalu menikam-nikam jiwa batinku. Aku ingin menjauhi sifat seperti ini. Namun, semakin aku cuba untuk melawan semakin ia kuat mencengkam perasaan. Aku cuba mempositifkan diri dan minda, tetapi masih tidak berjaya. Salahku Ya Allah kerana aku terlalu cemburu?
Tatkala terbayang keadaan suamiku berhubungan dengan wanita lain dan terbayang saat suamiku bermesra dengan kekasih hatinya dan wanita-wanita seperti itu, aku jadi semakin sedih. Apa yang aku inginkan ialah suami yang suci dan tidak pernah melakukan dosa-dosa besar, tapi itu mustahil kerana aku telah memilihnya dan aku juga pernah melakukan banyak dosa tanpa disedari.
Hampir setiap saat aku memikirkan perkara ini selepas aku mengetahui kisah silamnya. Kepalaku jadi serabut yang teramat. Tetapi hubunganku dengannya tetap berjalan seperti biasa. Sungguh, aku tidak berani menyuarakan perasaan cemburuku ini padanya. Apabila kulihat mukanya kelihatan risau dan ingin meminta nasihat dan semangat setelah berpenat-lelah berjuang dan berdakwah di luar, aku memberikannya kata-kata semangat, walaupun di hati aku sedih dengan kisah silamnya tetapi aku cuba lupakannya demi cintaku pada seorang suami..
Hinggalah pada suatu detik, aku teringat akan kisah srikandi Islam yang mulia iaitu 'Aisyah'. Beliau adalah salah seorang isteri Rasulullah S.A.W yang paling muda dan yang paling kuat sifat cemburunya.
Pernah suatu hari, salah seorang isteri Baginda S.A.W datang berkunjung ke rumah Baginda ketika mana giliran Baginda untuk bersama Aisyah. Isteri Baginda S.A.W ketika itu hanya ingin memberikan sedulang makanan kepada suaminya dan madunya, 'Aisyah. Apabila 'Aisyah ingin menyambut makanan tersebut beliau sengaja menjatuhkan makanan itu. Dan, hal ini segera ditegur oleh Baginda S.A.W. Lalu Baginda S.A.W menasihati isterinya dan meminta agar 'Aisyah meminta maaf kepada madunya itu.
Ada juga kisah mengenai sifat cemburu 'Aisyah di mana Rasulullah S.A.W acapkali menyebut-nyebut tentang Saidatina Khadijah di hadapannya. Sehingga beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengapa Baginda selalu menyebut-nyebut tentang Saidatina Khadijah sedangkan Saidatina Khadijah sudah wafat. Lalu Baginda S.A.W bersabda bahawasanya Saidatina Khadijah ialah seorang wanita Islam yang terlalu banyak berkorban demi agama.
Kini, tersedar ku dari lamunan. Aku sedar, sifat ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Aku perlu kawal perasaan ini, bukan lawan. Kerana sifat ini merupakan fitrah insani. Cuma ianya perlu dikawal dengan sebaiknya.
Walaupun begitu. Aku tahu bahawa suamiku sudah banyak berubah. Semenjak aku mengenali suamiku, dia sudah banyak berubah. Dia menjaga batas-batas pergaulannya dengan wanita ajnabi. Dia menundukkan pandangannya daripada memandang wanita yang bukan mahram. Dia hanya berurusan dengan wanita apabila terdapat urusan penting sahaja. Alhamdulillah. Aku sepatutnya bersyukur ke hadrat Ilahi. Dia sudah berubah dan dia bukanlah dia yang sebelum ini lagi.
Suamiku selalu berpesan agar jangan diingatkan kisah yang lepas kerana kisah itu hanya kisah silam yang menjadi epilog silamnya. Memang benar apa yang suamiku katakan. Aku akan cuba berubah menjadi isteri yang solehah dan tidak memikirkan perkara-perkara lampau itu lagi!
Kini aku berdoa agar dikurniakan sikap yang lebih positif agar hatiku tenang bila bersamanya. Aku ingin sekali kami memupuk sikap saling percaya antara satu sama lain kerana bagiku kepercayaan itu penting dalam perhubungan suami isteri. Kami juga akan sedaya-upaya membina keluarga sakinah di mana keluarga itu yang sentiasa mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Pada pandanganku, apabila kita yakin dengan ajaran Islam (amal,ilmu,akhlak,hubungan suami dengan Allah terjaga), secara automatiknya kita akan yakin dengan perhubungan kita secara keseluruhannya. Insya-Allah.
Pesananku buat semua pasangan suami isteri, bercintalah kerana-Nya. Cinta itu suci, dan janganlah mengotori hakikat cinta itu. Hargai pasangan kita. Dan, jagalah hati pasangan kita sebaik-baiknya. Jika telah dikurniakan suami yang soleh dan baik, bersyukurlah pada Allah dan doalah agar dia akan kekal begitu. Usahlah cemburu membabi buta kerana kemungkinan besar cemburu itu akan lebih mengeruhkan keadaan yang sedia ada.
peringatan untuk diri ini dan juga yang lain2: jangan cemburu membabi buta kerana kemungkinan besar cemburu itu akan lebih mengeruhkan keadaan yang sedia ada..oh diriku,kawallah perasaanmu.
artikel drpd I LUV ISLAM
Wednesday, July 27, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment